Mantan Pengetua saya yang terdahulu,Puan Rosida selalu menekankan tentang Urgency&Priority iaitu keutamaan dan kepentingan. Bila kita mempunyai tugasan dan kerja yang banyak sudah tentu kita akan merasa pening dan bingung untuk memulakan yang mana dahulu. Tambahan pula jika tugasan-tugasan tersebut datang secara serentak.
Di sinilah perlu untuk kita merujuk kepada tugasan yang mana memerlukan keutamaan dan tugasan yang mana memerlukan kepentingan. Utama bermaksud perkara yang didahulukan manakala penting bermaksud mustahak. Kita perlu menyediakan senarai tugas terlebih dahulu dan melihat tarikh akhirnya sebelum kita meletakkan yang mana satu patut didahulukan dan yang mana satu akan dibuat kemudiaannya.
Ada tugasan yang memerlukan kita bertindak pantas dan segera tanpa mengira tarikh akhirnya.Maka tugasan seperti ini dikategorikan sebagai priority. Ia patut diutamakan melebihi tugasan-tugasan yang lain.Ada pula tugasan yang mustahak dan penting,mesti dibuat tetapi tidak dalam keadaan yang segera.Maka tugasan ini jatuh dalam kategori mustahak tetapi boleh dibuat kemudian.
Penting buat kita mengetahui dan memahami arahan-arahan dan kehendak-kehendak dalam setiap tugasan dan kerja yang kita perolehi agar kita mampu melangsaikan semua urusan tersebut dengan cekap dan teratur. Sediakan satu senarai semak yang lengkap dan kaji dahulu bentuk tugasan tersebut sebelum kita memulakannya. Jika kita mampu membezakan antara kedua-dua ini,nescaya akan kuranglah sakit kepala dan pening kita ketika bekerja.
Ucapan dalam Bahasa Jepun untuk hari ini ialah:
HAJIMEMASHITE - Selamat Berkenalan/Salam Perkenalan
DOZO YOROSHIKU - Sila beri tunjuk ajar/ Sila beri nasihat

HAJIMEMASHITE selalu diucapkan sebagai ucapan pertama sebelum kita menyebut nama kita kepada umum. Digunakan sebagai ucapan pertama semasa kita memperkenalkan diri kepada orang lain. Contohnya, HAJIMEMASHITE,WATASHI WA HANI DESU.

DOZO YOROSHIKU pula diucapkan di saat akhir setelah kita selesai memperkenalkan diri kita kepada umum tadi. Penting diucapkan kerana di sini kita meminta orang lain untuk menasihati dan memberi tunjuk ajar serta nasihat kepada kita.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan DEEPAVALI WO OMEDETOU GOZAIMASU kepada semua rakan dan pelajar-pelajar saya yang akan menyambutnya esok hari. Semoga bergembira!

Bak kata orang, hidup ini bagai satu putaran roda. Kadang-kadang kita di atas, kadang-kadang kita di bawah. Tidak selamanya kita akan susah dan menderita, juga tidak selamanya kita akan mengecap kebahagiaan dan kejayaan. Walaupun kita sentiasa mengharapkan yang terbaik buat diri kita, tetapi bersedialah untuk sesuatu yang buruk dalam hidup.
Lulus dalam peperiksaan, menang dalam sesuatu pertandingan dan mendapat sesuatu yang diidamkan adalah antara beberapa contoh kegembiraan dan kemanisan dalam hidup. Akan terpancar sinar bahagia di wajah dan senyuman yang tidak lekang dari bibir tatkala berada di ambang kejayaan. Tidak dapat digambarkan bagaimanakah hati berbunga-bunga dan perasaan yang bergelodak apabila nama kita disebut sebagai seorang yang berjaya.
Tetapi cuba bayangkan apabila sesuatu yang sebaliknya berlaku ke atas diri kita. Markah peperiksaan yang diperolehi sangat rendah, kalah dalam pertandingan yang disertai dan gagal mendapat sesuatu yang sangat kita inginkan. Ini adalah perkara-perkara yang membuat kita murung dan sedih. Sekali-sekala dimarahi atau diherdik juga bisa membuat kita berasa sayu hati.
Bagi saya, setiap orang pasti melalui saat-saat seperti ini yang disebut "THE UPS AND DOWNS IN LIFE". Sudah menjadi lumrah di dunia dan asam garam kehidupan, setiap dari kita akan merasa suka-duka, sedih-gembira, pahit-manis, berjaya-gagal dalam setiap momen di sepanjang hayat ini. Cuma yang membezakan antara setiap individu tersebut ialah berapa banyak iktibar yang diperolehinya bagi setiap jatuh bangun yang dialaminya. Adakah naik turun dalam kehidupan kita bisa menjadikan kita lebih kuat dan cekal atau pun kita akan terus tersungkur dan tidak bangun-bangun lagi?
Secara peribadinya, naik turun dalam kehidupan ini lebih menguatkan semangat saya untuk terus ke hadapan. Setiap kegagalan yang pernah saya perolehi, saya jadikan panduan dan iktibar supaya saya tidak mengulangi perkara yang sama yang akhirnya akan menggagalkan saya sekali lagi. Lagi banyak ujian dan dugaan yang saya terima, lagi bertambahlah kekuatan saya untuk menempuhi segalanya. Kekuatan dan kecekalan saya terbina dari segala kegagalan dan kejatuhan yang pernah saya alami dahulu. Tidak perlu gusar dan murung memikirkan nasib diri yang malang kerana akhirnya merugikan diri sendiri. Terus pandang ke hadapan kerana kita tidak tahu apakah peluang-peluang keemasan yang menanti di hujung sana.
Hidup tidak selalunya indah ... tetapi keindahan yang diperolehi itu bisa mewarnai segenap ruang kehidupan kita untuk selamanya. Fikirkanlah!
TSUMARANAI MONO NAN DESUGA - Hadiah ini tidaklah seberapa nilainya
TSUMARANAI MONO DESU - Hadiah yang membosankan/ hadiah yang

TSUMARANAI MONO NAN DESUGA diucapkan ketika kita memberi hadiah atau cenderahati kepada orang lain. Di sini kita merendahkan diri kita dengan mengatakanyang hadiah atau cenderahati yang kita berikan itu tidaklah mahal atau tidak cantik tetapi sudilah untuk menerimanya.

TSUMARANAI MONO DESU pula ungkapan biasa menerangkan yang hadiah atau cenderahati itu membosankan dan tidak menarik.

TSUMARANAI bermaksud bosan/jemu. Jika kita bosan atau jemu sebut saja TSUMARANAI NA.

Akhir kata, hadapilah setiap hari yang mendatang dengan penuh ceria dan bersemangat.

Hari ini tamatlah Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) bagi 143 orang calon KUSESS. Kertas yang terakhir ialah Kemahiran Hidup. Jelas tergambar, perasaan gembira dan lega yang teramat sangat sebaik sahaja Ketua Pengawas mengumumkan yang masa menjawab sudah tamat.Semua calon menyerahkan kertas jawapan masing-masing dengan wajah yang tersenyum riang.

Tetapi ingatlah wahai para pelajar sekalian, kegembiraan dan kelegaan yang yang dikecapi itu hanyalah sementara sahaja. Perasaan sedemikian adalah lumrah tatkala sesuatu peperiksaan besar tamat. Semua calon peperiksaan akan mengalami perasaan yang serupa.

Apa yang penting sekarang ialah jalan yang terbentang di hadapan kita. Bagaimana kita hendak mengisi waktu-waktu yang terluang itu dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah? Tamatnya PMR bukanlah bermakna selesai sudah segala proses pembelajaran dalam hidup kita. Tamatnya PMR juga tidak bermaksud kita merdeka secara total daripada segala peraturan dan undang-undang sekolah.

Saya umpamakan Peperiksaan Umum ini seperti acara heptathlon dan dekathlon. PMR ialah disiplin yang ke-2 dalam acara kita. Disiplin yang pertama ialah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan displin yang ke-3 pula ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tamatnya PMR hanyalah satu persinggahan yang singkat untuk kita menarik nafas dalam-dalam dan destinasi untuk kita melepaskan sesak di dada dan kepenatan setelah penat berlari. Tamatnya PMR tidak ubah seperti sebuah R&R untuk kita duduk seketika dan mengurut lutut dan membetulkan sendi-sendi yang longgar sebelum kita ke disiplin yang berikutnya. Kita perlu melepasi setiap disiplin yang ada sebelum kita boleh diisytiharkan sebagai pemenang. Kita mesti mendapatkan jumlah mata yang besar sebelum kita boleh diumumkan sebagai pemenang pingat emas.

Begitulah juga PMR. Matlamat untuk mendapat straight A adalah impian semua calon. Dan untuk mendapat 8A bagi calon-calon dari Sekolah Berasrama Penuh(SBP) bukanlah satu perkara yang mustahil kerana mereka masuk ke SBP pun dengan 5A. Disertai dengan usaha yang gigih serta tekun mengulangkaji pelajaran, 8A seperti sudah berada dalam genggaman.

Tetapi apa yang perlu ditegaskan di sini ialah perjuangan kita masih belum selesai. Banyak lagi disiplin yang menunggu di hadapan. Setakat manakah kekuatan kita untuk menyelesaikan semua disiplin yang ada dan sejauh manakah daya ketahanan mental dan fizikal kita untuk mengumpul mata yang besar sebelum kita diisytiharkan sebagai juara? Inilah yang dimaksudkan dengan perjuangan yang belum selesai.

Berehatlah untuk seketika dan lepaskanlah lelah anda seadanya tetapi jangan terlalu bergembira dan bersuka ria hingga lupa matlamat asal kita dalam hidup. UPSR, PMR, SPM....dan seterusnya. Selamat maju jaya!




SUMIMASEN - Maafkan saya./ Excuse me.



GOMEN NASAI - Saya minta maaf./ Saya bersalah.




SUMIMASEN bermaksud maafkan saya @ excuse me dalam Bahasa Inggerisnya. Contohnya, apabila kita hendak memanggil seseorang yang tidak kita kenali, adalah lebih manis dimulakan dengan SUMIMASEN, bukannya "oi" atau "aa". Sama juga apabila kita di kedai makan, ketika hendak memanggil pelayan, sebutlah SUMIMASEN sambil menggamitkan tangan ke arah pelayan tersebut. Kan lebih bersopan begitu.


GOMEN NASAI digunakan untuk memohon maaf atas kesalahan dan kesilapan yang telah kita lakukan. Sebaik-baiknya tundukkan kepala sambil menyebut GOMEN NASAI sebagai tanda yang kita benar-benar memohon maaf.


SUMIMASEN juga boleh digunakan untuk memohon maaf atas kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Caranya sama seperti GOMEN NASAI tadi.

Hari ini bermulalah Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2009 bagi semua para pelajar tingkatan 3. Peperiksaan bermula dengan kertas Bahasa Melayu. Tahun ini seramai 143 orang calon KUSESS. Semua calon ini mengharapkan keputusan yang terbaik iaitu 8A.
InsyaAllah dengan segala usaha dari pelbagai pihak,semua calon memperoleh 8A bukanlah sesuatu yang mustahil. 3 kali menunaikan solat hajat secara beramai-ramai memohon perkenan dari Yang Esa,sudah cukup membuktikan betapa serius dan bersungguh-sungguhnya pihak sekolah membantu para pelajar.
Semoga keputusan di hujung Disember ini akan memihak kepada kita.Hidup KUSESS!

KI WO TSUKETE KUDASAI - Tolong berhati-hati! / Be careful.

KI WO TSUKETE KUDASAI digunakan untuk menyuruh seseorang berhati-hati @ berwaspada terhadap sesuatu perkara

Baiklah,ini sahaja untuk kali ini. Sehingga bertemu lagi di lain hari.


Dilahirkan di Malaysia sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, sudah semestinyalah bahasa yang saya pertuturkan di rumah ialah Bahasa Melayu. Tetapi bila usia saya mencecah 5 tahun ,saya sudah mula diajar menyanyi lagu-lagu dalam Bahsa Inggeris oleh makcik saya yang kebetulannya seorang guru Bahasa Inggeris ketika itu ( tahun 1976 ). Saya masih ingat bagaimana saya dan seorang lagi sepupu saya ( yang sekarang seorang pensyarah Industrial Design di UITM,Shah Alam) dipaksa mendengar lagu-lagu Barry Manilow dan Cliff Richard. Kemudiannya, kami diminta menyanyikan lagu yang diajarnya. Pada masa itu, kami merasakan betapa seksanya untuk menghafal senikata lagu-lagu mat saleh ni. Tetapi apabila saya masuk darjah 1, saya dengan penuh yakinnya dapat menyanyikan sebuah lagu yang bertajuk "Miracle" di atas pentas di hadapan beribu pelajar semasa Hari Guru tahun 1978 tanpa rasa takut.




Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, semasa zaman persekolahan saya dahulu, boleh berbahasa Ingggeris dengan baik amat digalakkan. Berani tampil ke mikrofon, dan membacakan "Learn A Word A Day"untuk siaran sekolah juga sudah cukup bagus. Betapa Bahasa Inggeris dapat mengangkat martabat seseorang di mata masyarakat.Tetapi, suasana agak berbeza pada hari ini. Boleh berkomunikasi dan menulis Bahasa Inggeris dengan baik sudah menjadi satu perkara wajib bagi setiap para pelajar. Semua pelajar tanpa mengira asal-usul latarbelakang, tempat tinggal, di bandar mahupun di kampung, rata-rata dapat menguasai dan memahami Bahasa Inggeris.




Maka dengan itu, di zaman yang serba-serbi berlandaskan IT,sepatutnya, semua pelajar mampu menguasai satu lagi bahasa antarabangsa selain Bahasa Inggeris. Di Sekolah Berasrama Penuh(SBP) sahaja, para pelajar diberi 4 pilihan iaitu Bahasa Arab, Bahasa Jepun, Bahasa Jerman dan Bahasa Perancis. Dari tingkatan 1 hingga tingkatan 4, para pelajar berpeluang belajar Bahasa-bahasa Antarabangsa ini dari asas menulis sehinggalah kepada tatabahasanya. Sudah tentulah objektif SBP hendak melahirkan pemimpin masa hadapan yang mempunyai kemahiran berbahasa antarabangsa dengan baik.


Sebagai seorang guru Bahasa Jepun,saya melihat semua ini sebagai satu usaha yang amat baik sekali. Boleh berkomunikasi,membaca dan menulis dalam Bahasa Jepun menjadikan anda sebagai satu aset negara yang amat bernilai. Contohnya, jika semasa menunggu keputusan SPM, anda boleh ke gedung-gedung membeli-belah seperti SOGO, JUSCO dan ISETAN dan memohon kerja sambilan dengan mudah sekali. Apatah lagi jika anda seorang lulusan dari negara Matahari Terbit itu, peluang bekerja di mana-mana sektor swasta amat cerah sekali. Tidak semestinya, kilang-kilang dari Jepun sahaja yang akan mengambil anda bekerja tetapi syarikat dan sektor swasta tempatan juga berminat mengambil anda bekerja. Ini adalah kerana, kemampuan anda menguasai bahasa ke-3 memberi banyak manfaat dan kelebihan kepada tempat anda bekerja.




Jadi,rebutlah peluang yang sedang terbentang luas di hadapan anda! Jangan sia-siakan kesempatan yang diberi kerana 10 tahun akan datang,kita tidak dapat meneka apa yang akan berlaku. jangan sampai anda menyesal di kemudian hari nanti! Renung-renungkanlah.



ZANNEN DESHITA - Menyesalnya! Ruginya!



ZANNEN DESUNE - Rugi ye!


ZANNEN DESHITA diucapkan apabila kita rasa menyesal ataupun rasa rugi kerana sesuatu perkara berlaku.



ZANNEN DESUNE pula diucapkan ketika kita tewas, kalah ataupun kehilangan sesuatu yang amat berharga.Contohnya dalam pertandingan, perlawanan atau sesuatu percubaan untuk mendapatkan tempat yang lebih baik.









OK, selamat bercuti dan berehat di hujung minggu. Selamat berhari raya ke rumah jiran -tetangga, sahabat-handai dan saudara-mara.






Saya teringat zaman persekolahan saya dahulu di SRK Sultanah, Asma Alor Setar. Semasa saya di darjah 4, setiap pagi saya dan beberapa rakan akan berada di tempat letak basikal,menunggu guru darjah kami datang.Guru darjah kami ialah Cikgu Sharifah Zamrud.Orangnya cantik bergaya dan baik hati. Sebaik sahaja Cikgu Sharifah datang, kami akan ke keretanya dan tolong membawa beg dan buku ke bilik darjah ataupun ke bilik guru. Begitulah situasi kami setiap pagi,menunggu cikgu sampai ke sekolah tanpa jemu.
Seterusnya, apabila naik darjah 5 pun serupa juga.Saya dan beberapa orang rakan akan menunggu guru kela kami tiba dan berebut-rebutlah kami membawa beg tangannya, buku-buku latihannya dan sebagainya. Semua ini kami lakukan dengan rasa ikhlas dan bangga sekali. Perasaan sayang dan hormatkan guru yang mengajar itulah yang menyebabkan kami rasa terpanggil untuk menunggu dan membawa barang-barangnya.
Jika ditanya kepada saya, sehingga hari ini pun saya masih ingat dan boleh membayangkan wajah guru-guru yang pernah mengajar saya dari darjah 1 hinggalah ke tingkatan 5. Walaupun, ada yang telah meninggal dunia dan dimamah usia, saya tetap kenal mereka.
Baru-baru ini, di majlis perkahwinan adik saya, 4 orang guru sekolah rendah saya telah berpeluang menghadirkan diri. Walaupun mereka telah pencen dan ada yang bertongkat,mereka juga masih ingatkan saya. Perasaan sebeginilah yang sukar digambarkan dengan lukisan mahupun dibeli dengan wang ringgit. Saya masih ingat Cikgu Zanzilla ialah guru Bahasa Malaysia saya semasa darjah 5, Cikgu Hassan ialah guru muzik saya dari darjah 1 hingga darjah 3, Cikgu Khadijah ialah guru bolajaring saya dari darjah 4 hingga darjah 6 dan ramai lagi yang datang dan pergi dalam dunia persekolahan saya.
Guru kelas saya semasa di tingkatan 4 Allahyarhamah Puan Mariam Ibrahim,seorang guru Prinsip Akaun yang tiada tolak bandingnya. Cara beliau mengajar sangat berkesan dan amat mudah difahami. Begitu juga Allahyarhamah Ustazah Faridah Taib,seorang ustazah yang sangat sporting,tegas dan baik hati.
Yang paling saya tidak dapat lupakan ialah Pengetua saya di SM Sultanah Asma dari tahun 1986-1988 iaitu Cik Hajjah Nasriah Binti Maghribi. Semasa di bawah Cik Hjh. Nasriah, prestasi sekolah melonjak dengan cemerlangnya. Seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan patuh pada masa. Setelah tamat sekolah, saya dapat merasakan kesan ilmu dan didikan beliau meresap ke dalam diri saya. Saya telah menjadikan beliau idola saya dalam profesion perguruan ini kerana cara beliau mendekati pelajar menyebabkan segala nasihat dan tegurannya melekat di hati sanubari kami sehinggalah ke hari ini.
Saya sayangkan semua guru yang pernah hadir dalam hidup saya tanpa mengira sebesar mana pun ilmu yang dicurahkan. Ada guru yang bagus dalam pengajarannya, ada guru yang bagus sebagai jurulatih dan ada guru yang boleh berbual dengan pelajar seperti seorang kawan. Pada saya, setiap guru yang pernah singgah dalam hidup saya mempunyai keistimewaan masing-masing. Tanpa anda semua siapalah saya dan tak mungkin saya boleh menjadi Hani Azita seperti hari ini. Arigatou,senseitachi!


OHISASHIBURIDESUNE - Lamanya kita tidak jumpa,ye!

SOU DESUNE - Ye lah.

OHISASHIBURIDESUNE diucapkan apabila kita sudah lama tidak bertemu dengan sesorang ataupun sudah lama tidak nampak orang itu.

SOU DESUNE pula ialah balasan kepada ucapan di atas tadi bermaksud kita bersetuju dengan apa yang telah diucapkan oleh rakan kita tadi.

Assalamualaikum..
Hari ini saya hendak menulis mengenai sebuah lagu yang saya dengar di corong radio baru-baru ini. Saya tidak tahu apa judul lagunya tapi suara penyanyinya amat saya kenali. Siapa lagi kalau tidak Melly Goeslaw. Hendak dijadikan cerita, pagi tadi ada seorang sahabat telah mengirimkan lagu tersebut ke telefon bimbit saya. Sebaik sahaja saya mendengar lagu tersebut, saya amat menyukai lirik lagunya. Judul lagunya ialah "Ketika Cinta Bertasbih" dan sudah tentulah pencipta dan penulis liriknya ialah Melly Goeslaw sendiri.
Baru sebentar tadi, saya berpeluang mencari liriknya di internet. Sudah menjadi lumrah saya, jika saya suka & meminati sesebuah lagu, saya akan mendapatkan liriknya. Saya baca liriknya baris demi baris dan cuba membuat tafsiran sendiri. Aduh! Sungguh puitis perkataan-perkataaan dan ayat-ayat yang digunakan. Hati sememangnya tersentuh tatkala menyelami lirik hasil pena Melly Goeslaw ini.
Saya sarankan, carilah liriknya dan hayatilah. Pada saya, lagu ini bertemakan ketuhanan dan mesej yang ingin disampaikan sangat jelas sekali. Kasih sayang yang mutlak hanyalah kepada Yang Esa.
Baiklah, perkataan untuk hari ini:-
OGENKIDESUKA - Apa khabar? / Sihatkah?
HAI,GENKIDESU - Ya, sihat.
IIE, GENKIDEWA ARIMASEN - Tidak, tidak berapa sihat.

OGENKIDESUKA adalah untuk kita bertanya khabar seseorang.

HAI,GENKIDESU adalah jawapan sekiranya kita sihat dan berada dalam keadaan baik.

IIE,GENKIDEWA ARIMASEN pula sekiranya kita tidak sihat dan berada dalam keadaan yang kurang baik.

OGENKIDE pula membawa maksud jaga diri ataupun dalam Bahasa Inggerisnya take care.

www.youtube.com/watch?v=dqp9RXrKPHY
Jumpa lagi esok.