Saya teringat zaman persekolahan saya dahulu di SRK Sultanah, Asma Alor Setar. Semasa saya di darjah 4, setiap pagi saya dan beberapa rakan akan berada di tempat letak basikal,menunggu guru darjah kami datang.Guru darjah kami ialah Cikgu Sharifah Zamrud.Orangnya cantik bergaya dan baik hati. Sebaik sahaja Cikgu Sharifah datang, kami akan ke keretanya dan tolong membawa beg dan buku ke bilik darjah ataupun ke bilik guru. Begitulah situasi kami setiap pagi,menunggu cikgu sampai ke sekolah tanpa jemu.
Seterusnya, apabila naik darjah 5 pun serupa juga.Saya dan beberapa orang rakan akan menunggu guru kela kami tiba dan berebut-rebutlah kami membawa beg tangannya, buku-buku latihannya dan sebagainya. Semua ini kami lakukan dengan rasa ikhlas dan bangga sekali. Perasaan sayang dan hormatkan guru yang mengajar itulah yang menyebabkan kami rasa terpanggil untuk menunggu dan membawa barang-barangnya.
Jika ditanya kepada saya, sehingga hari ini pun saya masih ingat dan boleh membayangkan wajah guru-guru yang pernah mengajar saya dari darjah 1 hinggalah ke tingkatan 5. Walaupun, ada yang telah meninggal dunia dan dimamah usia, saya tetap kenal mereka.
Baru-baru ini, di majlis perkahwinan adik saya, 4 orang guru sekolah rendah saya telah berpeluang menghadirkan diri. Walaupun mereka telah pencen dan ada yang bertongkat,mereka juga masih ingatkan saya. Perasaan sebeginilah yang sukar digambarkan dengan lukisan mahupun dibeli dengan wang ringgit. Saya masih ingat Cikgu Zanzilla ialah guru Bahasa Malaysia saya semasa darjah 5, Cikgu Hassan ialah guru muzik saya dari darjah 1 hingga darjah 3, Cikgu Khadijah ialah guru bolajaring saya dari darjah 4 hingga darjah 6 dan ramai lagi yang datang dan pergi dalam dunia persekolahan saya.
Guru kelas saya semasa di tingkatan 4 Allahyarhamah Puan Mariam Ibrahim,seorang guru Prinsip Akaun yang tiada tolak bandingnya. Cara beliau mengajar sangat berkesan dan amat mudah difahami. Begitu juga Allahyarhamah Ustazah Faridah Taib,seorang ustazah yang sangat sporting,tegas dan baik hati.
Yang paling saya tidak dapat lupakan ialah Pengetua saya di SM Sultanah Asma dari tahun 1986-1988 iaitu Cik Hajjah Nasriah Binti Maghribi. Semasa di bawah Cik Hjh. Nasriah, prestasi sekolah melonjak dengan cemerlangnya. Seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan patuh pada masa. Setelah tamat sekolah, saya dapat merasakan kesan ilmu dan didikan beliau meresap ke dalam diri saya. Saya telah menjadikan beliau idola saya dalam profesion perguruan ini kerana cara beliau mendekati pelajar menyebabkan segala nasihat dan tegurannya melekat di hati sanubari kami sehinggalah ke hari ini.
Saya sayangkan semua guru yang pernah hadir dalam hidup saya tanpa mengira sebesar mana pun ilmu yang dicurahkan. Ada guru yang bagus dalam pengajarannya, ada guru yang bagus sebagai jurulatih dan ada guru yang boleh berbual dengan pelajar seperti seorang kawan. Pada saya, setiap guru yang pernah singgah dalam hidup saya mempunyai keistimewaan masing-masing. Tanpa anda semua siapalah saya dan tak mungkin saya boleh menjadi Hani Azita seperti hari ini. Arigatou,senseitachi!


OHISASHIBURIDESUNE - Lamanya kita tidak jumpa,ye!

SOU DESUNE - Ye lah.

OHISASHIBURIDESUNE diucapkan apabila kita sudah lama tidak bertemu dengan sesorang ataupun sudah lama tidak nampak orang itu.

SOU DESUNE pula ialah balasan kepada ucapan di atas tadi bermaksud kita bersetuju dengan apa yang telah diucapkan oleh rakan kita tadi.

Assalamualaikum..
Hari ini saya hendak menulis mengenai sebuah lagu yang saya dengar di corong radio baru-baru ini. Saya tidak tahu apa judul lagunya tapi suara penyanyinya amat saya kenali. Siapa lagi kalau tidak Melly Goeslaw. Hendak dijadikan cerita, pagi tadi ada seorang sahabat telah mengirimkan lagu tersebut ke telefon bimbit saya. Sebaik sahaja saya mendengar lagu tersebut, saya amat menyukai lirik lagunya. Judul lagunya ialah "Ketika Cinta Bertasbih" dan sudah tentulah pencipta dan penulis liriknya ialah Melly Goeslaw sendiri.
Baru sebentar tadi, saya berpeluang mencari liriknya di internet. Sudah menjadi lumrah saya, jika saya suka & meminati sesebuah lagu, saya akan mendapatkan liriknya. Saya baca liriknya baris demi baris dan cuba membuat tafsiran sendiri. Aduh! Sungguh puitis perkataan-perkataaan dan ayat-ayat yang digunakan. Hati sememangnya tersentuh tatkala menyelami lirik hasil pena Melly Goeslaw ini.
Saya sarankan, carilah liriknya dan hayatilah. Pada saya, lagu ini bertemakan ketuhanan dan mesej yang ingin disampaikan sangat jelas sekali. Kasih sayang yang mutlak hanyalah kepada Yang Esa.
Baiklah, perkataan untuk hari ini:-
OGENKIDESUKA - Apa khabar? / Sihatkah?
HAI,GENKIDESU - Ya, sihat.
IIE, GENKIDEWA ARIMASEN - Tidak, tidak berapa sihat.

OGENKIDESUKA adalah untuk kita bertanya khabar seseorang.

HAI,GENKIDESU adalah jawapan sekiranya kita sihat dan berada dalam keadaan baik.

IIE,GENKIDEWA ARIMASEN pula sekiranya kita tidak sihat dan berada dalam keadaan yang kurang baik.

OGENKIDE pula membawa maksud jaga diri ataupun dalam Bahasa Inggerisnya take care.

www.youtube.com/watch?v=dqp9RXrKPHY
Jumpa lagi esok.


Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Hari ini sekolah kembali dibuka setelah bercuti raya selama hampir 10 hari. Semua guru dan pelajar masih dalam suasana berhari raya cuma situasi dan suasananya sedikit berbeza. Saya pun sudah 9 hari tidak menulis apa-apa di blog ini kerana kesibukan dan kekangan masa sempena berhari raya.

Di kesempatan menyambut Hari Raya Aidil Fitri,saya telah pulang ke Muar,Johor berhari raya di kampung suami selama 5 hari. Kebetulan pada tahun ini, semua adik-beradik suami yang seramai 7 orang telah pulang ke Muar. Suasana di rumah amatlah hingar-bingar dan hiruk pikuk dengan suara cucu-cucu emak mertua saya yang seramai 23 orang itu. Bayangkanlah apabila,daripada 23 orang itu,hanya 3 orang sahaja yang bersekolah menengah sedangkan yang lainnya di antara 1 hingga 12 tahun. Namun begitu, saya sangat gembira melihat telatah dan gelagat anak-anak saudara saya berhari raya. Memang benarlah kata orang tua-tua, hari raya ni untuk budak-budak. Merekalah yang paling gembira dengan baju barunya, duit rayanya, bunga apinya dan lain-lain perkara lagi.

Selesai beraya di Muar, saya dan keluarga pun pulang ke Klang. Kemeriahan berhari raya di rumah sendiri juga tidak kurangnya apabila sejak dari hari Khamis hinggalah petang semalam, saya menerima kedatangan tetamu ke rumah tanpa henti dan saya juga sempat meluangkan masa ke rumah pakcik-pakcik dan makcik-makcik saya yang rata-ratanya menetap di Lembah Kelang dan Selangor.

Kunjung-mengunjung di bulan Syawal ini sememangnya mengeratkan lagi ikatan persaudaraan dan ukhuwah sesama saudara-mara dan merapatkan lagi jalinan silaturrahim antara rakan dan taulan. Minggu ini akan bermulalah sesi ziarah-menziarahi antara warga Lembah Kelang dan Selangor. Selepas ini akan penuhlah jadual rumah terbuka dan jemputan hari raya sehinggalah ke penghujung Syawal nanti. Setahun hanya sekali kita menyambut kedatangan Syawal ini, maka manfaatlah ia dengan aktiviti berhari raya dengan sebaik-baiknya.

Ok. Setelah 9 hari saya tidak memperkenalkan perkataan baru Bahasa Jepun, hari ini saya akan beri 2 perkataan sekaligus.


ITADAKIMASU - Saya makan.


GOCHISOU SAMADESHITA - Saya selesai makan.


ITADAKIMASU diucapkan ketika kita hendak mula makan sambil kedua-dua tapak tangan ditemukan dan diletakkan di bahagian hadapan dada sambil membongkokkan kepala sebagai tanda menghormati makanan.


GOCHISOU SAMADESHITA pula diucapkan apabila selesai makan.

Baiklah, sehingga esok hari. Jaga pemakanan anda di bulan Syawal ini.

Tengahari semalam, sedang saya duduk di bilik guru, talipon bimbit saya berbunyi. Tertera nombor yang bermula dengan 05- , maka saya pun terfikir siapa agaknya dari negeri Perak yang menalipon saya ini. Bila saya menjawab, si pemanggil pun memperkenalkan dirinya sebagai Hasmah. Rupanya beliau adalah bekas anak murid saya semasa saya mengajar di SK Kampong Chegar,Pendang ,Kedah 16 tahun yang lalu. Sudah tentulah saya masih ingat budak tu sebab beliau adalah Ketua Kelas darjah 5 iaitu tahun pertama saya bergelar guru. Semasa itu, saya mengajar Bahasa Inggeris di sebuah sekolah kampung di mana rata-rata ibu bapa mereka adalah penoreh getah dan petani.
Saya berbual dengan Hasmah lebih kurang selama10 minit. Hasmah kini adalah seorang Pegawai Bank di sebuah bank yang terkemuka di Malaysia. Daripada Hasmah, saya mendapat khabar beberapa orang anak murid saya yang lain seperti Izzudin,Khadir,Zakilah kini telah berjaya dalam kerjaya masing-masing. Saya amat berbangga kerana anak-anak didik saya dari sebuah kampung yang serba kekurangan dan di awal pengajaran saya bersama mereka,memang teruk tahap bahasa Inggerisnya kini telah berjaya menjadi jurutera dan doktor. Malah hati saya amat tersentuh apabila Hasmah berkata yang beliau sentiasa ingatkan saya dan cara saya mengajar ketika di kelas sedangkan ketika itu beliau baru berusia 11 tahun. Saya hairan bagaimana Hasmah berjaya mendapat nombor talipon bimbit saya. Rupa-rupanya beliau mencari di internet.
Selepas tamat perbualan saya dengan Hasmah, saya terfikir bahawa sesungguhnya, benarlah kata orang, kerjaya sebagai seorang guru itu amat mulia. Mungkin saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari anak-anak didik saya tetap ingatkan saya dengan cara mereka tersendiri. Saya tidak terfikir bahawa apa yang saya ucapkan atau lafazkan kepada mereka berbelas-belas tahun dahulu amat berbekas di hati dan minda mereka.
Sebelah malamnya pula, bekas anak didik Bahasa Jepun saya,Zuhair menalipon dari KLIA. Beliau agak rapat dengan saya sejak dari tingkatan 1 hinggalah ke hari ini. Beliau akan berangkat ke Prague untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, saya mendoakan kesejahteraan semua anak didik saya tak kira walau di mana anda berada. Saya maafkan segala salah&silap anda terhadap saya kerana saya sendiri pun bukanlah seorang guru yang sempurna. Anda semua adalah permata hati saya. "Jauh di mata tapi dekat di hati".
OMEDETOU GOZAIMASU - Tahniah

OMEDETOU GOZAIMASU ialah ucapan tahniah yang dilafazkan apabila sesuatu kejayaan ataupun kemenangan diraih.

Boleh juga disebut sebagai OMEDETOU sahaja tetapi hanya kepada rakan-rakan sebaya ataupun mereka yang lebih muda daripada si penuturnya.

Hari ni hari terakhir persekolahan sebelum semua pelajar pulang cuti berhari raya. Namun,masih ada pelajar tingkatan 5 dan tingkatan 3 yang sedang bertungkus lumus dengan kertas-kertas percubaan mereka. Ganbatte!

Para pelajar lain semuanya sudah dalam mood hari raya. Di mata masing-masing sudah terbayang kampung halaman,rumah atuk dan nenek, berbuka puasa di rumah bersama keluarga tercinta dan rancangan berhari raya ke rumah kawan-kawan rapat.

Saya, mengambil kesempatan ini untuk menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf dari hujung kepala hingga ke hujung kaki atas segala keterlanjuran kata, terlebih sikap amarah sama ada disengajakan atau sebaliknya. Sama-samalah kita bermaaf-maafan,buang yang keruh dan ambil yang jernih.

Kepada para pelajar yang memberi kad ucapan Selamat Hari Raya,terima kasih diucapkan. Saya tidak berkesempatan untuk membalasnya tetapi saya amat-amat menghargainya.

Akhir kata,perkataan Bahasa Jepun untuk hari ini ialah:

ARIGATOU GOZAIMASU - Terima kasih

ARIGATOU GOZAIMASU diucapkan sebagai tanda terima kasih atau penghargaan terhadap sesutau perkara atau sumbangan yang diberikan.

Boleh juga diucapkan ARIGATOU sahaja tetapi hanya kepada rakan-rakan sebaya dan mereka yang lebih muda daripada si penuturnya.

Hari ini seramai 49 orang pelajar Bahasa Jepun tingkatan 4 KUSESS telah menduduki Peperiksaan Selaras Bahasa Jepun Kem.Pelajaran Malaysia. Kertas Peperiksaan terbahagi kepada 3 bahagian:


1. Penulisan I ( Katakana, Kanji dan Perbendaharaan Kata),


2. Penulisan II ( Tatabahasa dan Petikan Kefahaman)


3. Pendengaran


Peperiksaan yang mengambil masa lebih kurang 3 jam ini, memberi peluang kepada para pelajar yang telah belajar Bahasa Jepun selama 4 tahun untuk menguji tahap kemampuan dan keupayaan mereka dalam Bahasa Jepun.
Rata-rata mengatakan Kertas Penulisan I dan Kertas Pendengaran agak mudah manakala Kertasa Penulisan II agak susah. Keputusan penuh Peperiksaan ini hanya akan diketahui pada penghujung bulan Februari. Jadi, sama-samalah kita berdoa agar calon-calon KUSESS dapat mengekalkan prestasi 100% nya buat kali ke-5 berturut-turut serta memperbaiki ranking sekolah yang jatuh di tangga ke-14 pada tahun lepas.


Baiklah, perkataan Bahasa Jepun untuk hari ini ialah

GANBATTE KUDASAI - Selamat Maju Jaya

GANBATTE KUDASAI diucapkan ketika seseorang akan menduduki peperiksaan,hendak bertanding dalam sesuatu pertandingan ataupun menghadapi apa sahaja situasi yang memerlukan kata-kata perangsang.


Ok....cukup untuk hari ini. Sehingga esok,Selamat Berbuka Puasa.


JAA MATA,ASHITA! - Baiklah,jumpa lagi esok hari.

MATA NE - Jumpa lagi ye!


JAA MATA NE diucapkan apabila kita minta izin untuk balik/pulang ataupun semasa kita memaklumkan kepada orang lain yang kita mahu balik.

MATA NE juga bermaksud hampir serupa seperti di atas tadi. Atau lebih mudah JAA membawa maksud sama seperti bye bye.


Hari ini, buat pertama kalinya saya membina blog sendiri. Rupa-rupanya, membina blog ni bukanlah mudah tetapi seronok bila dah dapat ilmu tu. Buat permulaan, blog ini mungkin sangat membosankan semua orang yang membacanya. Tetapi, saya berjanji yang saya akan sentiasa memperbaiki kelemahan diri dari semasa ke semasa.



Baiklah, untuk permulaannya mari kita belajar sehari satu perkataan dalam Bahasa Jepun.


OHAYOU GOZAIMASU - Selamat Pagi

OHAYOU GOZAIMASU diucapkan dari awal pagi sehinggalah ke pukul 12 tgh.hari.


Ia juga boleh dipendekkan dengan hanya menyebut OHAYOU sahaja tetapi diucapkan kepada rakan-rakan sebaya dan mereka yang lebih muda daripada kita. Ia akan kedengaran seperti biadap atau kurang sopan jika diucapkan kepada mereka yang lebih tua atau senior daripada kita.