Selamat pagi semua.
Saya baru pulang dari membawa anak sulong saya ke Peperiksaan Penempatan Darjah Satu Ambilan 2010 di SK Sungai Binjai,Meru sebentar tadi. Dahsyatkan!Baru hendak masuk Tahun 1 sudah ada Peperiksaan Penempatan. Ini disebabkan bilangan murid-murid Tahun Satu 2010 telah mencecah hampir 600 orang bagi sekolah tersebut. Bayangkan berapa banyak kelas yang ada hanya untuk Tahun 1 sahaja. Semuanya 14 kelas dengan setiap kelas kapasiti muridnya seramai 50 orang. Wah! Padat dan ramai betul.
Peperiksaan bermula jam 8.30 pagi dan tamat pada pukul 9.30 pagi. Hanya sejam sahaja,itupun hanya kertas Bahasa Melayu. Ibubapa yang menghantar dan menunggu anak mereka menduduki peperiksaan ini sangat ramai dan penuh tempat letak keretanya hingga melimpah ke padang sekolah.
Sementara menanti anak-anak kami mengambil peperiksaan ini, para ibubapa perlu ke dewan sekolah untuk mendengar taklimat daripada Penolong Kanan,Penyelia Petang dan guru-guru yang ada. Di sepanjang sesi taklimat tersebut,pelbagai perkara telah disentuh.Antaranya, tentang Skim Bantuan Buku Teks(SPBT), Rancangan Makanan Tambahan(RMT),yuran persekolahan, pembelian alat tulis dan juga Kelas Intervensi. Apa yang menarik minat saya ialah Penolong Kanan memaklumkan bahawa kemungkinan besar untuk Ambilan Tahun Satu 2010 nanti matapelajaran Sains ditiadakan kerana Sains bakal diserapkan ke dalam subjek bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kedengaran ramai ibubapa yang mengeluh. Pelik rasanya bila mengenangkan anak saya mungkin tidak belajar Sains di sekolah. Bukankah subjek Sains itu sepatutnya boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlu diserapkan ke mana-mana subjek lain walaupun Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris? Hmmm...
Kami juga dimaklumkan bahawa negeri Selangor adalah antara top ten yang mempunyai kadar literasi yang tinggi dan Daerah Klang juga mempunyai kadar literasi yang agak tinggi. Maka semua ibubapa diingatkan agar peka dalam mengawasi pembelajaran anak-anak kerana dikhuatiri murid-murid Tahun 1 masih tidak dapat membaca dan menulis dengan baik walaupun setelah beberapa bulan berada di Tahun 1 kelak. Jangan memandang remeh akan hal ini kerana walaupun anak kita mungkin boleh menyanyikan lagu ABC dengan baik dan merdu tetapi tidak semestinya mereka boleh membaca dan menulis dengan baik dan lancar. Ada juga ibubapa yang risaukan kefasihan Bahasa Inggeris anaknya sehingga mengabaikan Bahasa Melayu baku. Sebagai contoh, tidak ramai anak-anak kita yang tahu apa maksud lobak.Ini disebabkan mereka lebih kenal "carrot". Jika diminta mengeja pun,mereka akan mengeja sebagai "karot" ataupun "keret". Hmmm...
Saya juga sempat meninjau keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baru keluar 3 hari yang lalu. Kalau tidak salah,hanya seramai 48 orang sahaja yang berjaya mendapat 5A daripada beratus calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Secara rawaknya,saya lihat kelemahan keputusan UPSR SK Sg.Binjai ialah Bahasa Inggeris. Ini kerana hampir 20 org.calon yang mendapat 4A1B dan B mereka ialah Bahasa Inggeris. Hmmm...
Pada pendapat peribadi saya, di awal-awal persekolahan,mungkin semua pihak sibuk menangani masalah literasi disebabkan takut kadar tidak boleh membaca meningkat. Tetapi menjelang Tahun 6 rata-rata murid dapat menulis karangan dan memahamkan petikan kefahaman dengan begitu baik sekali. Maka yang tercicir di sini ialah Bahasa Inggeris. Kesian kepada anak-anak di luar bandar!
Walaubagaimanapun,selamat untuk MBM dan MBI! Seluruh negara akan memartabatkan Bahasa Melayu dan akan berusaha untuk memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Selamat tinggal untuk PPSMI!Hayatnya hanya bertahan selama 6 tahun sahaja.
TAIHENDESUNE - Susahkan!/ Beratkan!
SOU DESUNE - Begitulah.
TAIHENDESUNE dilafazkan ketika kita melihat sesuatu bebanan ataupun masalah yang ditanggung atau dihadapi oleh seseorang. Kita tidak mengalami kesusahan atau kesukaran itu tetapi kita menghulurkan empati kita.
SOUDESUNE pula ialah respon yang kita terima setelah kita ucapkan TAIHENDESUNE itu tadi.
Assalamualaikum,salam sejahtera!
Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan bagi tahun 2009. Setelah setahun bertungkus-lumus,akhirnya waktu yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Semua warga sekolah baik para pelajar mahupun para guru berpeluang untuk merehatkan minda dan tenaga dari semua bebanan di sekolah. Tetapi,hakikatnya adakah benar semua warga sekolah benar-benar bercuti?
Mungkin jawapan bagi soalan saya ini berbeza mengikut sekolah masing-masing. Bagi kami warga KUSESS tiada istilah cuti hujung tahun. Kebanyakan guru masih meneruskan kerja seperti biasa sehingga jam 4 petang tadi. Semua para pelajar telah pun menerima kerja cuti terancang (KCT) ataupun kerja rumah bagi setiap subjek.
Minggu hadapan akan masih ada kelibat guru-guru yang hadir ke sekolah dan meneruskan aktiviti seperti biasa. Sama ada menyelesaikan tugasan yang belum siap ataupun bertugas untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal para calon SPM 2009.
Masih terngiang-ngiang di telinga saya perbualan telefon antara saya dan seorang rakan. Beliau ketawa besar apabila saya menyatakan yang minggu hadapan saya masih ke sekolah seperti biasa dan mempunyai kelas tambahan bersama pelajar Bahasa Jepun saya sehingga Selasa petang. "Apa lagi kerja cikgu yang sibuk sangat ni? Kan dah cuti minggu depan. Cikgu banyak kerja ka?" Aduh! Ayat-ayat tersebut sungguh menusuk ke kalbu dan sanubari saya. Tetapi apabila saya mula menerangkan satu persatu kepada beliau,barulah beliau terdiam tanpa boleh berkata apa-apa.
Jangan sekali-kali berfikir bahawa apabila cuti akhir tahun bermula semua guru boleh tidur lena dan bersantai selama 5 minggu. Ada guru yang 3 minggu cutinya 'burn' kerana mengawas peperiksaan SPM. Ada guru yang perlu ke sekolah sekurang-kurangnya pada minggu pertama cuti untuk menyiapkan semua laporan tahunan bagi setiap aktiviti yang dipimpinnya,laporan bagi setiap keputusan peperiksaan pelajarnya dan laporan tahunan sahsiah para pelajarnya. Ada guru yang akan datang ke sekolah pada awal Disember untuk membincangkan program dan rancangan sekolah bagi tahun hadapan serta merangka projek akademik pelajar dari awal. Ada juga guru yang perlu hadir ke sekolah untuk membersihkan makmal,bengkel dan bilik-bilik khas yang dipegangnya. Mengemas dan membersihkan bilik dan makmal bukanlah mengambil masa sehari ataupun dua hari tapi 5 hari di mana kami perlu mengasingkan dahulu bahan-bahan perlu dan tidak perlu, kemudian menyusunnya mengikut keperluan dan akhir sekali barulah dibersihkan bilik tersebut. Sesudah dibersihkan,bilik dan makmal itu perlu diceriakan semula mengikut keperluan matapelajaran. Semuanya adalah kerja guru yang tidak pernah selesai.
Menjelang seminggu sebelum sekolah dibuka, para guru akan bermesyuarat sekurang-kurangnya 2 kali bagi memastikan perjalanan sesi persekolahan pada minggu berikutnya berjalan lancar sejak dari hari pertama lagi. Bagi para pelajar KUSESS,mereka akan mula mendaftar masuk ke asrama pada 2 Januari 2010 iaitu hari Sabtu. Bermakna para mentor kelas dan warden sudahpun mula bekerja sejak 2 Januari sedangkan sesi persekolahan sebenar ialah pada 4 Januari 2010(Isnin).
Kesimpulannya, janganlah berfikiran cetek dan memangdang rendah kerja dan profesion perguruan ini kerana untuk menjadi guru amatlah mudah tetapi untuk menjadi pendidik sangatlah sukar. Apa yang kami lalui sekarang ialah bagaimana untuk kami sendiri membentuk diri kami agar menjadi seorang pendidik yang mengamalkan profesionalisme yang amat tinggi.Buat rakan-rakan seperjuanganku di KUSESS, bercutilah walaupun hanya beberapa hari dan hargailah masa senggang anda kerana tugas guru tiada noktahnya.
IROIRO OSEWANI NARIMASHITA - Terima kasih atas segala susah payah anda!
IROIRO OSEWANI NARIMASHITA sering dilafazkan bagi menggambarkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas segala susah-payah yang diberikan.
Salam.
Hari ini bermulalah Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) bagi semua calon Tingkatan 5. Peperiksaan yang akan berlangsung selama 3 minggu ini memerlukan semua calon kuat fizikal dan mentalnya di samping menjaga pemakanan dan rutin tidur masing-masing. Selamat maju jaya diucapkan, semoga semua calon SPM KUSESS 2009 akan dilapangkan hati dan fikiran di sepanjang musim peperiksaan ini.
Hari ini Rabu, maksudnya kita berada di tengah-tengah minggu. Selalunya, tenaga kita kian berkurangan kerana penat dan letih bekerja. Kebetulan seorang rakan saya ada menghantar e-mail yang agak menarik dan saya berpendapat ia sesuai untuk dikongsi bersama-sama. Fikir-fikirkan dan berikanlah senyuman manis anda walaupun anda sebenarnya sangat keletihan dan kepenatan.


Smile even though it is mid-week!!!!!
Why.....do drugstores make the sick walk all the way to the back of the store to get their prescriptions while healthy people can buy cigarettes at the front?

Why.....do people order double cheeseburgers, large fries, and a diet coke?

Why ...do banks leave both doors open and then chain the pens to the counters.

Why......do we leave cars worth thousands of dollars in the driveway and put our useless junk in the garage.

Why.....do we buy hot dogs in packages of ten and buns in packages of eight?

Why. .....do they have drive-up ATM machines with Braille lettering?

EVER WONDER ...

Why the sun lightens our hair, but darkens our skin?

Why women can't put on mascara with their mouth closed?

Why don’t you ever see the headline 'Psychic Wins Lottery’?

Why is 'abbreviated' such a long word?

Why is it that doctors call what they do ‘practice’?
Why is lemon juice made with artificial flavor, and dishwashing liquid made with real lemons?
Why is the man who invests all your money called a broker?

Why is the time of day with the slowest traffic called rush hour?

Why isn’t there mouse-flavored cat food?

Why didn’t Noah swat those two mosquitoes?

Why do they sterilize the needle for lethal injections?

You know that indestructible black box that is used on airplanes? Why don't they make the whole plane out of that stuff?!

Why don't sheep shrink when it rains?

Why are they called apartments when they are all stuck together?

If flying is so safe, why do they call the airport the terminal?
Why?

Good question. Now that you've smiled at least once, it's your turn to spread the stupidity and send this to someone you want to bring a smile to (may be even a chuckle)....in other words, send it to everyone. We all need to smile every once in a while.


KONBANWA - Selamat Malam.

OYASUMINASAI - Selamat tidur/ Good night.

KONBANWA diucapkan pada waktu malam.
OYASUMINASAI pula diucapkan sebelum kita masuk tidur. Boleh diucap dengan ringkas sahaja iaitu OYASUMI tetapi hanya kepada rakan sebaya ataupun mereka yang lebih muda usianya daripada si penutur.

1. Optimistik:-Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'
2. Jangan bersikap pesimistik:-Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.
3. Kesedaran memikul tanggungjawab:-Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yangsedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.
4. Tumpuan sepenuh hati:-Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.
5. Mulakan dari awal:-Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.
6. Sentiasa bersedia:-Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'
7. Lengkapkan peralatan:-Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?
8. Tepati waktu belajar:-Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
9. Dapatkan bantuan guru:-Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
10. Hormati guru:-Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
11. Bersoal jawab dengan guru:-Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
12. Beri pandangan membina:-Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
13. Berbincang dengan rakan:-Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
14. Siapkan tugasan yang diberi:-Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
15. Tubuhkan kumpulan studi:-Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.
16. Sering masuk perpustakaan:-Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.
17. Baca akhbar:-Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.
18. Menonton rangcangan yang sesuai:-Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.
19. Lakukan peperiksaan kendiri:-Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.
20. Sediakan jadual waktu:-Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
21. Sertai ceramah motivasi:-Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
22. Sertai seminar peperiksaan:-Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.
23. Beli buku rujukan:-Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
24. Masuk kelas tuisyen:-Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
25. Lawatan ke pameran buku:-Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)
26. Sertai kokurikulum sekolah:-Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.
27. Sanggup manghadapi cabaran:-Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.
28. Jaga keselamatan diri:-Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
29.Jaga kesihatan fizikal:-Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
30. Makanan seimbang:-Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
31. Malu bertanya sesat jalan:-Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
32. Sembahyang:-Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
33. Doa:-Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
34. Tawakkal:-Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.
SHITSUREISHIMASU - Maaf mengganggu!/Sorry for interupting.
SHITSUREISHIMASU bermaksud maaf mengganggu. Dilafazkan ketika kita mengganggu sesuatu perjalanan aktiviti.
Contohnya;semasa kelas sudahpun bermula dan tiba-tiba kita lewat masuk ke kelas. Maka,kita akan mengetuk pintu sambil berkata SHITSUREISHIMASU.Begitu juga ketika kita menghadiri sesuatu temuduga,semasa kita hendak melangkah masuk ke bilik temuduga tersebut,kita akanmengetuk pintu sambil berkata SHITSUREISHIMASU.
Sebagai respon kepada SHITSUREISHIMASU, pihak satu lagi akan berkata DOZO yang bermaksud silakan.
Dulu semasa saya kanak-kanak,saya ada juga mendengar lagu-lagu Jepun di radio. Ketika itu saya berusia sekitar 10 tahun Mungkin disebabkan pakcik saya meminati lagu-lagu Jepun,maka saya sudah mengenali beberapa orang penyanyi Jepun yang sememangnya top pada masa itu.Antaranya ialah Mayumi Itsuwa dan Takeuchi Mariya. Lagu-lagu seperti Koibitoyo dan Ribaibaru sememangnya sedap didengar. Sudah tentulah saya tidak faham apa isi lirik lagu-lagu tersebut tetapi iramanya yang merdu sangat menarik minat saya.
Seterusnya,sekitar tahun 1984 hingga awal tahun 90an,drama-drama Jepun sememangnya banyak ditayangkan di kaca TV kita. Antara semua drama yang ditayangkan "Oshin" dan "Rin Hane Koma" lah yang paling mendapat sambutan di negara kita. Drama "Oshin" dan "Rin Hane Koma" itu sahaja mengambil masa berbulan-bulan malah melebihi siaran untuk satu tahun bagi sepanjang episod ceritanya. Saya masih ingat lagi pelakon wanita utama "Oshin" ialah Yuki Saito. Drama "Chiaki" juga mendapat sambutan hangat di Malaysia pada ketika itu.
Tidak dapat dinafikan drama-drama Jepun merupakan perintis kepada drama-drama dari luar negara di Malaysia ini. Kemudiannya, barulah ada drama Filipina,drama dari Brazil dan kini drama Korea yang menjadi kegilaaan rakyat Malaysia.
Semasa saya menonton "Oshin" mahupun "Chiaki", tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa suatu hari nanti saya akan ke Jepun dan belajar di sana untuk satu jangkamasa yang lama. Semuanya bermula apabila Gurubesar saya ketika itu, En.Mansor yang pulang dari menghadiri mesyuarat Gurubesar Negeri Kedah telah memberikan saya borang kosong untuk diisi. Beliau yang bersungguh-sungguh mahu saya memohon Biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) bagi melanjutkan pelajaran ke Jepun. Memandangkan beliau begitu teruja untuk menyokong saya, maka saya pun mengisi borang tersebut tanpa berfikir panjang lagi. 2 minggu selepas itu,kehidupan saya pun turut berubah.
Bermula 1 september 1996 saya dengan rasminya mengikuti kelas persediaan Bahasa Jepun untuk ke Jepun selama 5 tahun. setiap hari selama 6 bulan saya ke kelas dari jam 8 pagi hingga 4 petang. dan dalam tempoh itu juga, saya telah melalui 3 peperiksaan tapisan untuk melayakkan saya untuk ke Jepun.
5 tahun berada di Jepun bukanlah satu jangkamasa yang singkat.Berada di negeri yang semua warganegaranya hanya menggunakan Bahasa Jepun dalam segala bentuk urusan beserta budaya masyarakatnya yang sangat tinggi sememanglah mencabar. Pada masa itu, saya terbayangkan drama-drama Jepun yang pernah saya tonton. Apa yang disaksikan di kaca tv serupa dengan apa yang berada di depan mata saya. Budaya Jepun seperti apa yang disarankan oleh Mantan Perdana Menteri,Tun Dr.Mahathir Mohamed iaitu Dasar Pandang Ke Timur amatlah bertepatan sekali untuk diamalkan. Berpeluang menuntut dan tinggal di sana banyak mencorakkan budaya kerja dan tatsusila saya.
Dari segi ketepatan masa, orang Jepun memang tiada tolak bandingnya. Membuat orang lain tertunggu-tunggu ataupun lewat adalah satu sikap negatif yang dipandang serius oleh mereka. Sebagai contohnya,saya tidak pernah lihat pensyarah saya lewat masuk ke dewan kuliah. Selalunya 5 minit sebelum kelas bermula, pensyarah telah pun berdiri di rostrumnya menanti loceng berbunyi untuk memulakan kelasnya. Begitu juga ketika saya membuat kerja sambilan sebagai pembaca berita radio di NHK Tokyo. Waktu saya masuk bekerja ialah jam 7 petang dan waktu selesai kerja saya ialah jam 10 malam. Saya akan mendapat bahan berita yang perlu saya terjemahkan ke Bahasa Melayu tepat jam 7.30 malam dan tepat jam 8.30malam, koordinator saya Hiraokasan dan seorang penerbit dari RTM akan menyemak hasil terjemahan saya.tepat jam 9 malam saya akan ke udara dengan berita tadi secara live dari NHK. Tidak pernah sekali pun kitaran waktu kerja saya tadi berubah. Apatah lagi jadual keretapi ataupun dipanggil densha. Satu minit pun tidak pernah lambat,melainkan jika berlaku kemalangan ataupun perlanggaran di rel keretapi.
Selain dari ketepatan masa, orang Jepun sentiasa berjalan cepat dan laju. Mereka sentiasa mengejar masa,maka cara berjalan pun menjadi pantas. Tidak pernah saya jumpa mana-mana orang Jepun yang berjalan ala-ala catwalk ataupun kita sebut sebagai lenggang Mak Limah melainkan ketika mereka sedang bersiar-siar di taman ataupun berbual-bual sesama rakan sambil berjalan.
Pada saya budaya kerja Jepun memang tiada tolak bandingnya. Mereka akan memulakan kerja dengan berikrar beramai-ramai.Sebaik sahaja kaunter dibuka, penyambut tetamu tidak akan berhenti-henti mengucapkan irasshaimase kepada para pelanggan yang datang dan mengucapkan arigatou gozaimashita kepada setiap pelanggan yang keluar meninggalkan premis perniagaan tersebut. Cuba bayangkan begitulah rutin suasana di semua premis perniagaan,jabatan-jabatan dan restoran-restoran Jepun. Air muka mereka sentiasa menggambarkan bahawa mereka gembira menyambut kedatangan para pelanggan dengan memberi senyuman manis dari saat mula bekerja hinggalah premis tersebut hendak ditutup. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana orang Jepun mendapatkan tenaga untuk bekerja sedemikian rupa. Mereka bekerja dengan sangat efisyen dan sepenuh hati.
Sesungguhnya saya rasa amat bertuah berpeluang ke Jepun dan melanjutkan pelajaran di sana. Saya bukan sahaja berjaya menguasai Bahasa Jepun tetapi di waktu yang sama saya telah belajar dan mendalami budaya Jepun yang sebelum ini hanya dapat saya tonton di kaca tv dan baca di majalah mahupun akhbar-akhbar. Inilah yang dikatakan dari media elektronik ke pengalaman sebenar!
IRASSHAIMASE - Selamat datang./ Welcome.
IRASSHAIMASE adalah ucapan mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke sesuatu premis perniagaan,pejabat dan restoran. Tidak boleh digunakan untuk mengucapkan selamat datang kepada tetamu yang bertandang ke rumah kita.
Hingga bertemu lagi,mata ogenkide!
Salam semua. Hari ini saya tertarik untuk berkongsi satu artikel yang telah saya baca di akhbar Berita Harian. Artikel ini dipetik dari ucaptama bertajuk"Peranan dan Sumbangan Wanita dan Belia Kepada Pembangunan Negara" oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamed di Yayasan Kepimpinan Perdana,Putrajaya.

Beliau mengatakan bahawa wanita bakal mendominasi pengurusan tertinggi negara jika lelaki terus bersikap malas dan sambil lewa dalam menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran. Katanya lagi, sikap wanita yang rajin menimba ilmu dan menambah kemahiran dalam pelbagai bidang menyebabkan mereka kini menjadi sumber penting pasaran pekerjaan negara. Kejayaan wanita mengimbangi tanggungjawab di rumah dan di pejabat membuktikan mereka mempunyai kemampuan jika diberi peluang.
Menurut Tun,jika lelaki masih bersikap malas dan tidak mengubah sikap, tidak mustahil suatu hari nanti wanita akan mendominasi pengurusan tinggi negara.Selain itu, Tun berkata, peningkatan jumlah lelaki yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti dadah dan mat rempit juga menjadi antara faktor wanita semakin mendapat tempat dalam pasaran pekerjaan. Kemampuan wanita untuk berdikari menjadikan lelaki kini semakin selesa kerana tidak perlu bersusah payah menunaikan tanggungjawab mereka termasuk mencari rezeki untuk menyara keluarga. Beliau menambah lagi,sekiranya keadaan ini berterusan, peranan lelaki dalam masyarakat dan pembangunan negara akan terus terhakis kecuali mereka mengubah sikap masing-masing. Mengenai belia pula, Tun menasihatkan supaya mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran masing-masing dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan tidak berfaedah termasuk menyertai demonstrasi jalanan.

Demikianlah petikan akhbar yang ingin saya kongsi dengan anda semua. Memang ada benarnya teguran dan pendapat Tun Dr.Mahathir itu.Kita sepatutnya buka mata dan buka minda dengan apa yang diperkatakan. Jangan memandang isu ini sebagai sesuatu yang remeh dan mudah sahaja kerana kita dapat lihat sendiri bahawa di IPTA dan IPTS sahaja,ratio pelajar perempuan sudah mengatasi pelajar lelaki. Begitu juga di sektor pendidikan di mana guru perempuan lebih ramai daripada guru lelaki. Jadi, cuba fikirkan!
ITTEKIMASU - Saya akan pergi dan datang kembali
ITTERASSHAI - Selamat pergi dan semoga datang kembali
ITTEKIMASU selalunya diucapkan semasa kita hendak keluar meninggalkan rumah. Ia diucapkan kepada ahli rumah di mana kita tinggal.
ITTERASSHAI pula diucapkan oleh mereka yang berada di dalam rumah kita tinggal tadi dengan harapan kita selamat pergi dan juga kembali semula ke rumah dengan selamat.
Sudah lama saya tidak menulis di Sakura Sakura disebabkan faktor kesuntukan masa dan juga ketandusan bahan yang menarik untuk direnungkan bersama. Tetapi semenjak dua tiga hari ini, saya terpanggil untuk berkongsi cerita dan pengalaman saya mengenai persahabatan yang terjalin di antara kita.
Sahabat,kawan,teman dan rakan adalah perkataan seerti yang kelihatannya sama maksud tetapi berbeza pengertiannya. Apapun tafsiran yang diberikan oleh kamus, keempat-empat perkataan ini amat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita.Tanpa sahabat sepilah hidup kita. Tanpa kawan,bosanlah hidup kita.Tanpa teman,murunglah hidup kita.Tanpa rakan, sunyilah hidup kita. Bayangkan kehidupan yang dilalui tanpa mereka.
Sejak kita kecil hinggalah dewasa, kita telah bertemu dan bersahabat dengan ramai orang. Ada yang menggembirakan kita, tak kurang juga yang membuat kita menangis. Apapun situasinya, kita memang memerlukan sahabat dalam hidup ini.
Semakin lama sesuatu persahabatan itu terjalin,semakin bernilai sahabat itu dalam hidup kita. Dalam menjalinkan persahabatan ini, ada pasang surutnya. Ada sahabat yang sesuai dan serasi dengan kita. Kita boleh berkongsi rahsia dan cerita dengannya. Dan kita juga boleh bersama-sama menjalani aktiviti dengannya. Mungkin, pendapat dan citarasa kita serupa dengannya. Jika bertemu dengan sahabat yang sebegini, ceria dan bahagialah hidup kita.
Ada juga teman yang sebaliknya. Kita mungkin tidak sependapat dengannya dan citarasa juga berbeza. Ataupun, tingkahlakunya bertentangan dengan kita. Jadi,susahlah untuk kita membentuk satu keserasian dalam persahabatan tersebut. Asal jumpa asyik bertekak sahaja ataupun idea-idea kita sentiasa dibangkang sahaja, memanglah sukar untuk berkawan baik dalam keadaan sedemikian. Namun begitu, bukan bermaksud orang tersebut adalah musuh kita.Cuma, kurang sekufu!
Tetapi apabila meningkat dewasa, kita mampu untuk merasionalkan minda dan jiwa kita agar menerima setiap insan yang hadir dalam hidup kita itu sebagai sahabat. Tiada lagi istilah "tidak ngam" atau "tidak kamceng". Jika kita rasa kita tidak setuju atau sependapat dengan teman itu, kita hanya berdiam diri sahaja tanpa mahu bertengkar seperti zaman kanak-kanak dan remaja terdahulu. Ini menunjukkan bahawa kita menghargai seseorang itu tanpa mengira keserasian dirinya dengan kita lagi. Dan perkara yang lebih penting ialah, kita menghargai erti persahabatan itu dengan mengambil kira tempoh persahabatan yang terjalin selama ini.
Bagi saya, sahabat seumpama mutiara di dasar lautan. Ia amat berharga. Semakin ia berada di dasar,semakin tinggi nilainya. Begitu juga sahabat. Semakin lama kita mengenali seseorang rakan kita, semakin bernilailah persahabatan tersebut. Sahabat semasa di SRK Sultanah Asma, rakan semasa di SM Sultanah Asma, teman semaktab perguruan MPKI, kawan-kawan yang sama-sama belajar di Jepun, member-member jurulatih MSSK olahraga di Kedah, teman-teman guru di KUSESS...semuanya adalah mereka yang melengkapkan hidup saya dan memberi warna-warna yang pelbagai dalam palette kehidupan saya selama ini. Saya amat gembira berpeluang bertemu dan menjalinkan persahabatan dengan anda semua!
TADAIMA - Saya sudah balik/ Saya sudah pulang
OKAERINASAI - Selamat kembali / Selamat pulang
TADAIMA diucapkan semasa kita hendak memasuki rumah bertujuan untuk memaklumkan kepada mereka yang berada di dalam rumah bahawa kita sudah pulang.
OKAERINASAI pula diucapkan oleh mereka yang berada di dalam rumah sebaik sahaja mendengar ucapan kita tadi.
Itu sahaja cerita yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Sehingga di lain kelapangan,mata kondo!