Konniciwa...




Hari ini saya terpanggil untuk menulis tentang P&P saya di dalam kelas tingkatan 2 sebentar tadi. Bukannya apa, sekadar berkongsi pengalaman.




Saya meminta pelajar-pelajar saya menulis surat yang ringkas menceritakan tentang sukan sekolah kepada sahabat pena mereka yang berada di Jepun. Setelah kami berbincang tentang isi surat, maka pelajar saya pun mulalah menulis surat tersebut. Sambil mereka menulis, saya pun bertanya adakah mereka pernah mengirim surat, menulis surat, menerima surat kepada sesiapa... daripada sesiapa sebelum ini.




Wah!! Pelajar-pelajar saya semua tercengang dan memandang saya. Dari pandangan dan renungan mereka, dapatlah saya membuat telahan yang rata-ratanya tiada pengalaman menulis, menerima dan mengirim surat selama ini.




Lalu saya pun bercerita kepada mereka zaman kanak-kanak dan renaja saya dahulu di mana surat adalah medium utama yang menghubungkan saya dengan kawan-kawan dan saudara-mara. Bagaimana, keseronokan dan rasa teruja setiap kali melihat posmen berhenti di peti surat depan pagar rumah. Rasa teruja membeli kertas untuk menulis surat dan membeli sampul berwarna-warni yang dibayar mengikut berat gram nya itu.




Walaupun cerita saya itu pendek dan ringkas sahaja tetapi para pelajar saya sangat berminat untuk mendengar cerita selanjutnya. Maka saya pun teringat zaman di mana saya akan ke kedai alatulis dan menghabiskan masa hampir satu jam untuk membelek dan memilih kertas tulis surat. Kertas mana yang hendak dibeli bergantung kepada siapa penerimanya. Ada kertas yang wangi dan berbunga-bunga latar coraknya. Ada kertas yang wangi tapi warnanya kosong tanpa corak. Kemudian masa akan dihabiskan pula untuk memilih sampul surat. Sampul surat yang sentiasa menjadi pilihan saya ialah yang berwarna pastel dan beratnya dalam 70gm. Tulisan tangan saya sendiri yang sentiasa berubah-ubah dan berseni itu sentiasa mampu untuk menulis surat yang panjang berjela-jela dengan pelbagai cerita untuk si pembacanya.

Walaupun pengalaman ini nampaknya seperti tiada apa-apa tetapi amat besar maknanya dan mendalam di sanubari saya. Bila diingatkan berapa ramai kawan-kawan dan saudara-mara yang pernah menerima surat daripada saya dan berapa kotak surat balasan yang saya terima daripada mereka. Itulah antara kenangan yang terindah dalam zaman remaja saya. Mungkin satu hari nanti, saya boleh duduk bersantai sambil membuka semula kotak-kotak tersebut dan membaca surat-surat yang pernah saya terima hampir 20 tahun lalu.

Inilah yang dikatakan zaman telah berubah! Sekarang , tiada lagi orang yang rajin hendak berutus surat apatah lagi menghabiskan masa memilih kertas surat dan sampul. Jangan katakan menulis surat , menghantar kad ucapan Selamat Hari Raya secara pos pun sudah semakin berkurangan. Mungkin inilah salah satu faktornya tulisan tangan para pelajar sekarang tidak cantik. Mereka kurang menulis dan kalau menulis pun hanyalah untuk membuat nota dan menyiapkan kerja sekolah. Yang lainnya menjadi tugas komputer, i-pad dan notebook yang akan menulis bagi pihak mereka.

Itulah sahaja yang ingin saya kongsikan untuk hari ini.

tegami : surat
poskad : hagaki
kad ucapan : kaado
menulis surat : tegami wo kakimasu
mengirim surat : tegami wo dashimasu
membaca surat : tegami wo yomimasu

Hai, minasan. Mata ne....

Salam semua...konniciwa.

Ohisashiburidesune! Lama betul saya tidak menjenguk dan menulis di blog sendiri ini. Rasa-rasanya hampir 1 tahun setengah jugak lah. Sememangnya dalam tempoh itu, pelbagai perkara yang saya tempuh dan alami. Pendek kata, pengalaman benar-benar telah mendewasakan saya. walaupun usia saya telah menjangkau ke angka 4o tapi kekadang tidak semua perkara kita alami dalam hidup kita.

Hari minggu yang lalu, saya telah menonton rancangan TV "Siapa Di Rumah" yang dihoskan oleh Chef Datuk Ismail. Kebetulan pada pagi itu, saya berada di hadapan peti tv. Tetamu jemputan beliau ialah Prof. Dr. Muhaya.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kata-kata Prof. Dr. Muhaya berkaitan kesihatan. Kalimat beliau begitu melekat di hati saya. "Manusia ketika berusia sekitar 20 hingga 40 tahun akan bekerja keras untuk mengumpul duit, harta dan kekayaan. Tetapi apabila usia telah menjangkau 40 hingga ke 60 tahun, manusia mula bekerja keras untuk mencari kesihatan. Semua kekayaan duit harta benda yang ada di gunakan untuk membeli kesihatan," itulah kata-kata yang telah diucapkan oleh beliau. Maka saya pun terfikir, memang benar apa yang dikatakan oleh Prof. Dr. Muhaya itu.

Ketika kita sihat tubuh badan dan cergas, kita tidak pernah terfikir untuk menjaga kesihatan kita. Kita tidur lewat malam. Kita makan apa sahaja yang kita rasa hendak makan. Kita bekerja keras mencari wang dari pagi hingga ke petang, dari petang hingga ke malam. Kita mandi jam 9 malam. Tidak pernah pun kita rasa gusar tentang kesihatan apatah lagi penyakit yangbakal menyapa kita. Tetapi tatkala usia mencecah 40 dan seterusnya, kita mula bimbang tentang kesihatan kita. Pening kepala, sakit kepala, sakit dada, sakit pinggan, kencing manis, darah tinggi, tekanan darah rendah, sakit jantung dan sebagainya sekadar menamakan beberapa penyakit biasa yang sering dihadapi oleh kebanyakan daripada kita. Belum lagi mendengar penyakit-penyakit yang menggerunkan seperti barah hati, barah pangkal rahim, barah otak dan barah tulang.

Saya rasa kita memang patut mengamalkan cara hidup yang sihat sepanjang masa. Jika wang yang banyak sekalipun tidak akan dapat membeli kesihatan kita. Jadi, apalah sangat jika kita membelanjakan sejumlah hasil penat lelah kita mencari wang dan kekayaan itu untuk kesihatan yang tidak terbeli oleh wang ringgit itu. Kita boleh mengikuti ujian kesihatan yang ada di hospital-hospital swasta. Luangkan masa sekitar 1 ke 2 jam untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Belanjakan wang kita hanya sebanyak RM 300 ke RM500 hanya untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang hanya 2 tahun sekali ataupun sekali seumur hidup. Jika kita bernasib baik, hasil ujian kesihatan tadi menunjukkan kita sihat dan jauh dari sebarang penyakit. Tetapi jika nasib tidak menyebelahi kita, kita dikenalpasti ada penyakit. Terimalah dengan hati yang terbuka dan bersedialah untuk mencari penawarnya pula.

" Saya tidak pentingkan barang-barang kristal, barang-barang kemas dan perhiasan yang mahal-mahal. Tapi saya sanggup belanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengekalkan kesihatan yang Allah swt anugerahkan kepada saya," ucap Prof. Dr. Muhaya lagi.

Jadi,fikir-fikirkanlah.

ODAIJINI - Semuga cepat sembuh.
GOKARADANI KI WO TSUKETE KUDASAI - Jagalah tubuh badan anda baik-baik
KAZE - Selsema
ATAMA GA ITAI - Sakit kepala
KAYUI - Gatal-gatal

Sekian. Mata aimashou..
Assalamualaikum..konniciwa.


Ohisashiburidesune....lamanya tak jumpa ye! Kalau tak salah saya, hampir 5 bulan saya berhenti dari menulis di SAKURA SAKURA ini. Sesungguhnya, niat di hati ingin setiap hari menitipkan sesuatu di sini...tapi apakan daya masa tidak mengizinkan untuk saya bertafakur dan mencoretkan sesuatu yang bermanfaat untuk bacaan semua.


Sekarang,jam menunjukkan pukul 4.20ptg.,saya sedang berada di rumah.Untuk makluman semua, inilah kali pertama dalam tahun ini, saya pulang awal ke rumah dari sekolah. Mungkin disebabkan hari ini hari sukan, saya pun agak keletihan dan berpeluang untuk segera balik ke rumah.


Dalam tahun ini sahaja, sudah 3 kali saya dipantau dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Jepun saya. 2 kali oleh Japan Foundation,KL dan pagi tadi terkini oleh kumpulan guru2guru Bahasa Antarabangsa dari Maktab Melayu Kuala Kangsar(MCKK) untuk tujuan penandaarasan.


Saya amat berterima kasih kepada para pelajar saya yang sememangnya sporting dan memberi kerjasama yang cukup baik sehingga membolehkan P&P saya berjalan lancar dan baik. Contohnya pagi tadi, kelas Bahasa Jepun saya ialah bersama Tingkatan 1. Walaupun, semua rakan mereka yang lain sudah pun bergerak ke stadium, para pelajar Bahasa Jepun saya tetap menunjukkan minat yang tinggi dan aktif ketika P&P berlangsung. Walhal, hari ini ialah hari Sukan dan para pelajar lain berteriak sorak dengan cheers rumah masing-masing. Para pelajar tingkatan 1 ini baru sahaja 3 bulan mengenali apa itu hiragana, apa itu katakana, apa itu kanji, apa itu aisatsu... tetapi sokongan dan fokus yang mereka berikan cukup membanggakan saya. Ichinennsei no minasan,arigatou gozaimashita!


Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pelajar Bahasa Jepun saya dari tingkatan 2 hingga tingkatan 5 atas segala pertolongan dan tenaga yang diberikan demi merealisasikan bilik Bahasa Jepun kita. Anda semua adalah inspirasi saya dalam menceriakan dan mencantikkan bilik tersebut. Setiap sumbangan anda amat saya hargai dan hanya Tuhan sahaja yang dapat membalasnya. Air tangan dan keringat anda ada di bilik itu. Dari origaminya, bunga sakura buatan sendiri, bendera Jepun, carta Hiragana dan Katakana, peribahasa dan lukisannya, gambar-gambar dan segala-segalanya adalah hasil kerjatangan anda semua. Pada yang sanggup memanjat dan menampal, menyapu sampah, membersihkan meja, menyiram pokok bonzai hatta, mengutip habuk-habuk pemadam di lantai,semuanya amat saya hargai. Tanpa anda semua, tidak mungkin sebuah sekolah elit kluster dan berprofil tinggi seperti MCKK sanggup untuk hadir dan membuat benchmarking bilik Bahasa Jepun KUSESS. Nihongo no seitotachi, kokoro kara hontouni kansha itashimashita.


Tugas dan tanggungjawab saya sebagai Guru Cemerlang Bahasa Jepun akan menjadi semakin mencabar dari masa ke semasa. Tetapi, saya akan cuba untuk menjadi guru Bahasa Jepun anda yang terbaik...insyaAllah!


Tidak lupa juga kepada rakan sensei dan kohai saya, Rozana yang sangat supportive dan aktif orangnya. Sentiasa menceriakan hidup saya di saat-saat saya tertekan dan tension dengan beban kerja yang menggunung banyaknya...arigatou ne! Moyusan, guru pembantu kami yang dihantar oleh Japan Foundation untuk setahun ini, juga sangat rajin dan banyak meringankan beban kerja saya di KUSESS.


Akhir kata, secara peribadinya saya merasakan bahawa menjadi seorang Guru Cemerlang bukanlah sekadar cemerlang dan pakar dalam subjek yang diajar sahaja.Malahan, sebagai GC saya juga wajib dan mesti boleh mengurus dan mengendalikan tugasan lain yang kadangkala tiada kena mengena dengan bidang saya.


Mulai hari ini kita akan belajar perkataan dalam NIHONGO.


gohan - nasi

asa gohan - sarapan pagi

hiru gohan - makan tengahari

ban gohan - makan malam


Hingga bertemu lagi.Mata aimashou.
Assalamualaikum dan selamat pagi semua.

Hari ini semua umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1431. Sekejap sahaja satu tahun telah berlalu. Semoga tahun baru hijrah ini dapat menjadikan umat Nabi Muhammad saw yang lebih baik dari tahun sebelumnya. Juga menjadikan kita hamba Allah swt yang lebih banyak amalannya dari tahun sebelumnya,insyaAllah!
Marilah kita bersama-sama bekerja dan beramal ke arah kebaikan dan keredhaanNya. Akhir kata,Salam Maal Hijrah buat semua sahabat-sahabat dan pelajar-pelajarku yang beragama Islam.

SHINNEN AKEMASHITE OMEDETOU GOZAIMASU - Selamat Tahun Baru.
SHINNEN AKEMASHITE OMEDETOU GOZAIMASU diucapkan oleh orang Jepun semasa mereka menyambut Tahun Baru iaitu pada 1 Januari setiap tahun.Ia membawa maksud Tahniah kerana telah pun masuk ke tahun yang baru.

Sehingga jumpa lagi.
Selamat pagi semua.
Saya baru pulang dari membawa anak sulong saya ke Peperiksaan Penempatan Darjah Satu Ambilan 2010 di SK Sungai Binjai,Meru sebentar tadi. Dahsyatkan!Baru hendak masuk Tahun 1 sudah ada Peperiksaan Penempatan. Ini disebabkan bilangan murid-murid Tahun Satu 2010 telah mencecah hampir 600 orang bagi sekolah tersebut. Bayangkan berapa banyak kelas yang ada hanya untuk Tahun 1 sahaja. Semuanya 14 kelas dengan setiap kelas kapasiti muridnya seramai 50 orang. Wah! Padat dan ramai betul.
Peperiksaan bermula jam 8.30 pagi dan tamat pada pukul 9.30 pagi. Hanya sejam sahaja,itupun hanya kertas Bahasa Melayu. Ibubapa yang menghantar dan menunggu anak mereka menduduki peperiksaan ini sangat ramai dan penuh tempat letak keretanya hingga melimpah ke padang sekolah.
Sementara menanti anak-anak kami mengambil peperiksaan ini, para ibubapa perlu ke dewan sekolah untuk mendengar taklimat daripada Penolong Kanan,Penyelia Petang dan guru-guru yang ada. Di sepanjang sesi taklimat tersebut,pelbagai perkara telah disentuh.Antaranya, tentang Skim Bantuan Buku Teks(SPBT), Rancangan Makanan Tambahan(RMT),yuran persekolahan, pembelian alat tulis dan juga Kelas Intervensi. Apa yang menarik minat saya ialah Penolong Kanan memaklumkan bahawa kemungkinan besar untuk Ambilan Tahun Satu 2010 nanti matapelajaran Sains ditiadakan kerana Sains bakal diserapkan ke dalam subjek bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Kedengaran ramai ibubapa yang mengeluh. Pelik rasanya bila mengenangkan anak saya mungkin tidak belajar Sains di sekolah. Bukankah subjek Sains itu sepatutnya boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlu diserapkan ke mana-mana subjek lain walaupun Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris? Hmmm...
Kami juga dimaklumkan bahawa negeri Selangor adalah antara top ten yang mempunyai kadar literasi yang tinggi dan Daerah Klang juga mempunyai kadar literasi yang agak tinggi. Maka semua ibubapa diingatkan agar peka dalam mengawasi pembelajaran anak-anak kerana dikhuatiri murid-murid Tahun 1 masih tidak dapat membaca dan menulis dengan baik walaupun setelah beberapa bulan berada di Tahun 1 kelak. Jangan memandang remeh akan hal ini kerana walaupun anak kita mungkin boleh menyanyikan lagu ABC dengan baik dan merdu tetapi tidak semestinya mereka boleh membaca dan menulis dengan baik dan lancar. Ada juga ibubapa yang risaukan kefasihan Bahasa Inggeris anaknya sehingga mengabaikan Bahasa Melayu baku. Sebagai contoh, tidak ramai anak-anak kita yang tahu apa maksud lobak.Ini disebabkan mereka lebih kenal "carrot". Jika diminta mengeja pun,mereka akan mengeja sebagai "karot" ataupun "keret". Hmmm...
Saya juga sempat meninjau keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baru keluar 3 hari yang lalu. Kalau tidak salah,hanya seramai 48 orang sahaja yang berjaya mendapat 5A daripada beratus calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Secara rawaknya,saya lihat kelemahan keputusan UPSR SK Sg.Binjai ialah Bahasa Inggeris. Ini kerana hampir 20 org.calon yang mendapat 4A1B dan B mereka ialah Bahasa Inggeris. Hmmm...
Pada pendapat peribadi saya, di awal-awal persekolahan,mungkin semua pihak sibuk menangani masalah literasi disebabkan takut kadar tidak boleh membaca meningkat. Tetapi menjelang Tahun 6 rata-rata murid dapat menulis karangan dan memahamkan petikan kefahaman dengan begitu baik sekali. Maka yang tercicir di sini ialah Bahasa Inggeris. Kesian kepada anak-anak di luar bandar!
Walaubagaimanapun,selamat untuk MBM dan MBI! Seluruh negara akan memartabatkan Bahasa Melayu dan akan berusaha untuk memperkukuhkan Bahasa Inggeris. Selamat tinggal untuk PPSMI!Hayatnya hanya bertahan selama 6 tahun sahaja.
TAIHENDESUNE - Susahkan!/ Beratkan!
SOU DESUNE - Begitulah.
TAIHENDESUNE dilafazkan ketika kita melihat sesuatu bebanan ataupun masalah yang ditanggung atau dihadapi oleh seseorang. Kita tidak mengalami kesusahan atau kesukaran itu tetapi kita menghulurkan empati kita.
SOUDESUNE pula ialah respon yang kita terima setelah kita ucapkan TAIHENDESUNE itu tadi.
Assalamualaikum,salam sejahtera!
Hari ini merupakan hari terakhir persekolahan bagi tahun 2009. Setelah setahun bertungkus-lumus,akhirnya waktu yang dinanti-nantikan telah pun tiba. Semua warga sekolah baik para pelajar mahupun para guru berpeluang untuk merehatkan minda dan tenaga dari semua bebanan di sekolah. Tetapi,hakikatnya adakah benar semua warga sekolah benar-benar bercuti?
Mungkin jawapan bagi soalan saya ini berbeza mengikut sekolah masing-masing. Bagi kami warga KUSESS tiada istilah cuti hujung tahun. Kebanyakan guru masih meneruskan kerja seperti biasa sehingga jam 4 petang tadi. Semua para pelajar telah pun menerima kerja cuti terancang (KCT) ataupun kerja rumah bagi setiap subjek.
Minggu hadapan akan masih ada kelibat guru-guru yang hadir ke sekolah dan meneruskan aktiviti seperti biasa. Sama ada menyelesaikan tugasan yang belum siap ataupun bertugas untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal para calon SPM 2009.
Masih terngiang-ngiang di telinga saya perbualan telefon antara saya dan seorang rakan. Beliau ketawa besar apabila saya menyatakan yang minggu hadapan saya masih ke sekolah seperti biasa dan mempunyai kelas tambahan bersama pelajar Bahasa Jepun saya sehingga Selasa petang. "Apa lagi kerja cikgu yang sibuk sangat ni? Kan dah cuti minggu depan. Cikgu banyak kerja ka?" Aduh! Ayat-ayat tersebut sungguh menusuk ke kalbu dan sanubari saya. Tetapi apabila saya mula menerangkan satu persatu kepada beliau,barulah beliau terdiam tanpa boleh berkata apa-apa.
Jangan sekali-kali berfikir bahawa apabila cuti akhir tahun bermula semua guru boleh tidur lena dan bersantai selama 5 minggu. Ada guru yang 3 minggu cutinya 'burn' kerana mengawas peperiksaan SPM. Ada guru yang perlu ke sekolah sekurang-kurangnya pada minggu pertama cuti untuk menyiapkan semua laporan tahunan bagi setiap aktiviti yang dipimpinnya,laporan bagi setiap keputusan peperiksaan pelajarnya dan laporan tahunan sahsiah para pelajarnya. Ada guru yang akan datang ke sekolah pada awal Disember untuk membincangkan program dan rancangan sekolah bagi tahun hadapan serta merangka projek akademik pelajar dari awal. Ada juga guru yang perlu hadir ke sekolah untuk membersihkan makmal,bengkel dan bilik-bilik khas yang dipegangnya. Mengemas dan membersihkan bilik dan makmal bukanlah mengambil masa sehari ataupun dua hari tapi 5 hari di mana kami perlu mengasingkan dahulu bahan-bahan perlu dan tidak perlu, kemudian menyusunnya mengikut keperluan dan akhir sekali barulah dibersihkan bilik tersebut. Sesudah dibersihkan,bilik dan makmal itu perlu diceriakan semula mengikut keperluan matapelajaran. Semuanya adalah kerja guru yang tidak pernah selesai.
Menjelang seminggu sebelum sekolah dibuka, para guru akan bermesyuarat sekurang-kurangnya 2 kali bagi memastikan perjalanan sesi persekolahan pada minggu berikutnya berjalan lancar sejak dari hari pertama lagi. Bagi para pelajar KUSESS,mereka akan mula mendaftar masuk ke asrama pada 2 Januari 2010 iaitu hari Sabtu. Bermakna para mentor kelas dan warden sudahpun mula bekerja sejak 2 Januari sedangkan sesi persekolahan sebenar ialah pada 4 Januari 2010(Isnin).
Kesimpulannya, janganlah berfikiran cetek dan memangdang rendah kerja dan profesion perguruan ini kerana untuk menjadi guru amatlah mudah tetapi untuk menjadi pendidik sangatlah sukar. Apa yang kami lalui sekarang ialah bagaimana untuk kami sendiri membentuk diri kami agar menjadi seorang pendidik yang mengamalkan profesionalisme yang amat tinggi.Buat rakan-rakan seperjuanganku di KUSESS, bercutilah walaupun hanya beberapa hari dan hargailah masa senggang anda kerana tugas guru tiada noktahnya.
IROIRO OSEWANI NARIMASHITA - Terima kasih atas segala susah payah anda!
IROIRO OSEWANI NARIMASHITA sering dilafazkan bagi menggambarkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas segala susah-payah yang diberikan.