Salam semua...konniciwa.

Ohisashiburidesune! Lama betul saya tidak menjenguk dan menulis di blog sendiri ini. Rasa-rasanya hampir 1 tahun setengah jugak lah. Sememangnya dalam tempoh itu, pelbagai perkara yang saya tempuh dan alami. Pendek kata, pengalaman benar-benar telah mendewasakan saya. walaupun usia saya telah menjangkau ke angka 4o tapi kekadang tidak semua perkara kita alami dalam hidup kita.

Hari minggu yang lalu, saya telah menonton rancangan TV "Siapa Di Rumah" yang dihoskan oleh Chef Datuk Ismail. Kebetulan pada pagi itu, saya berada di hadapan peti tv. Tetamu jemputan beliau ialah Prof. Dr. Muhaya.

Apa yang ingin saya kongsikan di sini ialah kata-kata Prof. Dr. Muhaya berkaitan kesihatan. Kalimat beliau begitu melekat di hati saya. "Manusia ketika berusia sekitar 20 hingga 40 tahun akan bekerja keras untuk mengumpul duit, harta dan kekayaan. Tetapi apabila usia telah menjangkau 40 hingga ke 60 tahun, manusia mula bekerja keras untuk mencari kesihatan. Semua kekayaan duit harta benda yang ada di gunakan untuk membeli kesihatan," itulah kata-kata yang telah diucapkan oleh beliau. Maka saya pun terfikir, memang benar apa yang dikatakan oleh Prof. Dr. Muhaya itu.

Ketika kita sihat tubuh badan dan cergas, kita tidak pernah terfikir untuk menjaga kesihatan kita. Kita tidur lewat malam. Kita makan apa sahaja yang kita rasa hendak makan. Kita bekerja keras mencari wang dari pagi hingga ke petang, dari petang hingga ke malam. Kita mandi jam 9 malam. Tidak pernah pun kita rasa gusar tentang kesihatan apatah lagi penyakit yangbakal menyapa kita. Tetapi tatkala usia mencecah 40 dan seterusnya, kita mula bimbang tentang kesihatan kita. Pening kepala, sakit kepala, sakit dada, sakit pinggan, kencing manis, darah tinggi, tekanan darah rendah, sakit jantung dan sebagainya sekadar menamakan beberapa penyakit biasa yang sering dihadapi oleh kebanyakan daripada kita. Belum lagi mendengar penyakit-penyakit yang menggerunkan seperti barah hati, barah pangkal rahim, barah otak dan barah tulang.

Saya rasa kita memang patut mengamalkan cara hidup yang sihat sepanjang masa. Jika wang yang banyak sekalipun tidak akan dapat membeli kesihatan kita. Jadi, apalah sangat jika kita membelanjakan sejumlah hasil penat lelah kita mencari wang dan kekayaan itu untuk kesihatan yang tidak terbeli oleh wang ringgit itu. Kita boleh mengikuti ujian kesihatan yang ada di hospital-hospital swasta. Luangkan masa sekitar 1 ke 2 jam untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Belanjakan wang kita hanya sebanyak RM 300 ke RM500 hanya untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang hanya 2 tahun sekali ataupun sekali seumur hidup. Jika kita bernasib baik, hasil ujian kesihatan tadi menunjukkan kita sihat dan jauh dari sebarang penyakit. Tetapi jika nasib tidak menyebelahi kita, kita dikenalpasti ada penyakit. Terimalah dengan hati yang terbuka dan bersedialah untuk mencari penawarnya pula.

" Saya tidak pentingkan barang-barang kristal, barang-barang kemas dan perhiasan yang mahal-mahal. Tapi saya sanggup belanjakan sejumlah wang yang besar untuk mengekalkan kesihatan yang Allah swt anugerahkan kepada saya," ucap Prof. Dr. Muhaya lagi.

Jadi,fikir-fikirkanlah.

ODAIJINI - Semuga cepat sembuh.
GOKARADANI KI WO TSUKETE KUDASAI - Jagalah tubuh badan anda baik-baik
KAZE - Selsema
ATAMA GA ITAI - Sakit kepala
KAYUI - Gatal-gatal

Sekian. Mata aimashou..