Konniciwa...




Hari ini saya terpanggil untuk menulis tentang P&P saya di dalam kelas tingkatan 2 sebentar tadi. Bukannya apa, sekadar berkongsi pengalaman.




Saya meminta pelajar-pelajar saya menulis surat yang ringkas menceritakan tentang sukan sekolah kepada sahabat pena mereka yang berada di Jepun. Setelah kami berbincang tentang isi surat, maka pelajar saya pun mulalah menulis surat tersebut. Sambil mereka menulis, saya pun bertanya adakah mereka pernah mengirim surat, menulis surat, menerima surat kepada sesiapa... daripada sesiapa sebelum ini.




Wah!! Pelajar-pelajar saya semua tercengang dan memandang saya. Dari pandangan dan renungan mereka, dapatlah saya membuat telahan yang rata-ratanya tiada pengalaman menulis, menerima dan mengirim surat selama ini.




Lalu saya pun bercerita kepada mereka zaman kanak-kanak dan renaja saya dahulu di mana surat adalah medium utama yang menghubungkan saya dengan kawan-kawan dan saudara-mara. Bagaimana, keseronokan dan rasa teruja setiap kali melihat posmen berhenti di peti surat depan pagar rumah. Rasa teruja membeli kertas untuk menulis surat dan membeli sampul berwarna-warni yang dibayar mengikut berat gram nya itu.




Walaupun cerita saya itu pendek dan ringkas sahaja tetapi para pelajar saya sangat berminat untuk mendengar cerita selanjutnya. Maka saya pun teringat zaman di mana saya akan ke kedai alatulis dan menghabiskan masa hampir satu jam untuk membelek dan memilih kertas tulis surat. Kertas mana yang hendak dibeli bergantung kepada siapa penerimanya. Ada kertas yang wangi dan berbunga-bunga latar coraknya. Ada kertas yang wangi tapi warnanya kosong tanpa corak. Kemudian masa akan dihabiskan pula untuk memilih sampul surat. Sampul surat yang sentiasa menjadi pilihan saya ialah yang berwarna pastel dan beratnya dalam 70gm. Tulisan tangan saya sendiri yang sentiasa berubah-ubah dan berseni itu sentiasa mampu untuk menulis surat yang panjang berjela-jela dengan pelbagai cerita untuk si pembacanya.

Walaupun pengalaman ini nampaknya seperti tiada apa-apa tetapi amat besar maknanya dan mendalam di sanubari saya. Bila diingatkan berapa ramai kawan-kawan dan saudara-mara yang pernah menerima surat daripada saya dan berapa kotak surat balasan yang saya terima daripada mereka. Itulah antara kenangan yang terindah dalam zaman remaja saya. Mungkin satu hari nanti, saya boleh duduk bersantai sambil membuka semula kotak-kotak tersebut dan membaca surat-surat yang pernah saya terima hampir 20 tahun lalu.

Inilah yang dikatakan zaman telah berubah! Sekarang , tiada lagi orang yang rajin hendak berutus surat apatah lagi menghabiskan masa memilih kertas surat dan sampul. Jangan katakan menulis surat , menghantar kad ucapan Selamat Hari Raya secara pos pun sudah semakin berkurangan. Mungkin inilah salah satu faktornya tulisan tangan para pelajar sekarang tidak cantik. Mereka kurang menulis dan kalau menulis pun hanyalah untuk membuat nota dan menyiapkan kerja sekolah. Yang lainnya menjadi tugas komputer, i-pad dan notebook yang akan menulis bagi pihak mereka.

Itulah sahaja yang ingin saya kongsikan untuk hari ini.

tegami : surat
poskad : hagaki
kad ucapan : kaado
menulis surat : tegami wo kakimasu
mengirim surat : tegami wo dashimasu
membaca surat : tegami wo yomimasu

Hai, minasan. Mata ne....